Penulis, Kartunis Biar Bijak


“Jepun kena!” Kata Jahabar Sadiq seraya melabuhkan badan di sofa untuk menemani saya bersarapan Jumaat lepas. Saya kerutkan dahi tanda tidak faham, pelawaan untuk minum juga Jahabar tolak mentah-mentah. Jari-jemari lekat di papan kekunci Blackberry dan HTC Android. Editor peneraju portal berita Internet terbesar negara, The Malaysian Insider, itu jarang berenggang dengan telefon pintar.

“Kena apa?” Saya sergah Jahabar setelah beberapa minit berlalu tanpa penerangan lanjut. “Earthquake and tsunami, 8.9 (di skala Richter), you haven’t read?” Dan bertitik-tolak di situ, saya jadi penagih tegar laman web dan kaca televisyen yang memberi liputan langsung tentang kecelakaan yang melanda bahagian timur laut pantai Jepun itu.

Negara Asia paling maju itu, sekarang sedang merintih melihat kesan ombak marah yang telah meranapkan infrastruktur, meragut nyawa dan menggerakkan pulau utama Jepun sejauh lapan kaki, serta turut menganjakkan bumi dari paksi secara keseluruhan.

Tatkala ekonomi gargantuan Asia sedang berdepan dengan anggaran kerugian sebanyak USD35 billion; Indeks Nikkei yang terus-terusan merudum sejak hari kejadian; kerja-kerja menyelamat yang tidak henti-henti dicabar gegeran susulan dan letusan di loji-loji nuklear; dan tatkala seluruh dunia terpegun melihat imejan-imejan kemusnahan di negara matahari terbit itu, sebuah akhbar tempatan telah menerbitkan lakaran karikatur yang menunjukkan karekter superhero Jepun, Ultraman, berlari ketakutan apabila dikejar ombak tsunami.

Pantulan akibat penerbitan karikatur di atas, telah menjadikan laman Twitter berantakan dengan kecaman terhadap akhbar tersebut, yang seolah-olah tidak sensitif terhadap bala yang menimpa Jepun. Tidak cukup di laman Twitter, CNN turut menerbitkan di laman internet mereka, laporan yang bertajuk: Malaysian newspaper pokes fun at recent tsunami disasters.

Setakat waktu ruangan ini dilakar, laporan tersebut telah dibaca oleh 138,401 orang, dikongsi semula di laman internet sebanyak 8,699 kali dan para pembaca juga telah meninggalkan 231 komentar, yang rata-ratanya menegur karikatur tersebut. Dunia penerbitan negara terkena tsunami buatan sendiri. Bikin hati jadi panas pada pagi minggu...

Namun, apabila saya renung kembali rentetan perjalanan ketika baru berjinak-jinak dalam dunia penulisan di media konvensional, saya sedar betapa hubungan antara penulis (atau kartunis dalam kes ini) dan editor boleh jadi rumit, kadang-kadang bisa mencapai tahap kegagalan komunikasi mutlak.

Semasa baru menulis di akhbar The Malay Mail dahulu, saya pernah melakukan kesilapan maha besar apabila saya keliru di antara dua beradik: Karim Raslan dan Kam Raslan. Lantaran tulisan saya jadi terkhilaf fakta apabila saya merujuk kepada Kam Raslan di perenggan awal, padahal ketika itu saya sedang menulis ulasan terhadap buku terbaru Karim Raslan: Ceritalah 3. Malaysia: A Dream Deferred.

Jahil sungguh! Saya kutuk diri sendiri tanpa henti. Sehingga ke hari ini, saya masih berharap tidak ramai pembaca yang menyedari kesilapan saya. Sekiranya mereka tahu, saya dambakan kemaafan tanpa syarat. Setiap penulis wajib melantaikan karya mereka di paksi penyelidikan dan pembacaan tahap sempurna. Jelas sekali, tatkala itu, saya gagal.

Penulis dan editor, secara idealistiknya, perlu memikul tanggungjawab bersama untuk memastikan setiap penerbitan mengandungi fakta yang tepat dan mempunyai tempo yang tidak sumbang di landasan kemanusiaan. Sekiranya terkhilaf, implikasi yang timbul bukan sahaja bakal menjejaskan reputasi, silap-silap hari bulan boleh diheret ke mahkamah keadilan.

Hakikatnya, selagi yang berkarya dan menyunting itu namanya insan, tiada seorang pun yang maksum. Kebarangkalian untuk tersilap fakta dan terlepas pandang sentiasa ada di segenap penjuru. Saya faham itu, tentu pembaca budiman juga setuju dengan saya. Namun, kicauan kemaafaan dari ketua pengarang dan juga kenyataan rasmi meminta maaf yang disiarkan keesokan harinya, datang sedikit terlambat kerana nasi sudah jadi bubur...

Secara peribadi saya berpendapat, walaupun terlambat, tindakan akhbar tersebut meminta maaf secara terbuka telah menunjukkan kematangan dan sikap bertanggungjawab yang harus dipuji. Malang sekali, di alaf internet ini segalanya perlu pantas.

Mungkin pengajaran yang perlu kita timbang, setiap bencana alam yang berlaku sebenarnya memberi ingatan bahawa kita hanya tetamu sahaja di fana ini. Tidak kira secanggih mana teknologi yang dicipta manusia untuk memantau gempa bumi dan tsunami, kuasa Ilahi mengatasi segalanya.

Pengajaran kepada yang suka berjenaka, lihat dulu di sekeliling anda, kalau satira jenaka itu tidak sensitif terhadap penderitaan orang lain – walaupun dilakukan dengan niat bona fide – celakanya boleh memakan diri.

Elviza Michele Kamal


0 Responses So Far: