BN Melaka Tandus Duit


Pembangkang di negeri ini membantah penguat kuasaan cukai hiburan terhadap pengusaha yang dikenakan Kerajaan Negeri bermula 1 Januari lalu. 

Goh Leong San (DAP - Kesidang) berkata, tindakan itu juga dikesali kerana keputusan itu dibuat tanpa maklum balas daripada rakyat terutama pengusaha terlibat. 

“Bagaimana Kerajaan Negeri boleh menguat kuasakan cukai hiburan ini tanpa pengetahuan rakyat dan maklum balas daripada pengusaha terlibat kerana tindakan tersebut boleh memberi tekanan kepada pengusaha, turut ditanggung pengguna. 

“Adakah Kerajaan Negeri dalam usaha menuju ke arah sifar hiburan dan adakah ia membantu sedangkan Melaka adalah negeri pelancongan dan aktiviti itu mungkin akan terjejas akibat penguat kuasaan ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Datuk Seri Mohd Ali Rustam (BN - Bukit Baru) mengenai ucapan terima kasih kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob kerana merasmikan Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Seri Negeri kelmarin. 

Leong San berkata, tindakan diambil Kerajaan Negeri itu boleh memberi kesan sampingan seperti penyalah gunaan kuasa dan rasuah. 

“Saya membantah penguat kuasaan cukai hiburan ini lebih-lebih lagi ia boleh memberi kesan sampingan seperti rasuah dan salah guna kuasa oleh pihak tertentu,” katanya. 

Menurutnya, cukai hiburan dikenakan termasuk panggung wayang, ‘fun fair’, pusat karaoke, kedai makanan yang menyediakan karaoke dan televisyen. 

Penguat kuasaan cukai hiburan berkuatkuasa 1 Januari 2011 itu perlu dijelaskan sebelum 30 April depan dan pada setiap 1 Januari bermula tahun hadapan.


0 Responses So Far: