Surat Untuk Harussani


Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menghantar surat rasmi kepada Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria semalam, bagi memohon penjelasan berhubung kenyataan ‘undi Pas masuk syurga’ yang disiarkan sebuah akhbar, Ahad lalu. 

Menteri Besar Kelantan itu berharap tindakan itu mendapat respons segera Harussani yang disiarkan kenyataan berkenaan ketika hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undang Negeri (DUN) Kerdau dan Merlimau, baru-baru ini. 

”Hari ini (semalam) saya menghantar surat rasmi kepada Tan Sri Harussani, Mufti Perak memohon penjelasan terhadap tulisan beliau, 6 Mac lalu. 

"Saya memohon supaya beliau menjelaskan bilakah saya menyatakan bahawa undi Pas masuk syurga,” katanya yang dipetik dalam laman facebooknya,http://www.facebook.com/#!/nikaziz. 

Sebelum ini, kedua-dua tokoh itu sering bercanggah pendapat berhubung isu agama. Terbaru, Menteri Besar Kelantan itu menempelak Harussani yang dakwaan Pas menggunakan hukum untuk meraih undi. 

Susulan itu, Dewan Pemuda Pas Negeri Perak (DPPNP) kelmarin, menghantar surat jemputan kepada Harussani berhubung perkara sama bagi merealisasikan pertemuan dua tokoh tersebut. 

DPPNP menawarkan diri untuk menjadi orang tengah kerana menganggap pertemuan itu sebagai jalan penyelesaian selepas kedua-dua tokoh itu sering bercanggah pendapat melalui media. 

Kenyataan itu menyebut, sudah tiba masanya kedua-dua tokoh itu bersemuka dengan cara yang lebih terhormat dan beradab bagi menjernihkan keadaan dan menyelesaikan kemelut yang hanya merugikan umat Islam.


0 Responses So Far: