Tangan Yang Menghayun Buaian


LANGKAH kaki, bagai sudah diprogramkan, terus melangkah ke toko buku, tempat itu berhawa dingin dan boleh membaca secara percuma lagi – saya suka. Seperti selalu, tidak perlu berkelana jauh ke dalam perut toko, sebaik melewati bahagian terbitan terbaru, beberapa naskhah saya sambar untuk disiasat isi kandungan dengan lanjut.

Judul yang dikutip secara rawak petang ini: 21 Speeches That Shaped Our World. Bunyi tajuk gah sekali, teruja hati untuk membelek lebih lanjut. Naskhah nukilan penulis dan penyelidik Briton, Chris Abbot, telah mengambil pendekatan berbeza dengan memberi penghormatan – dalam bentuk kompilasi – kepada 21 teks ucapan pemimpin dan tokoh-tokoh dunia tersohor yang telah mencorakkan kemanusiaan dan duniawi hari ini.

Kata-kata penuh harapan milik, antara lainnya, Mohandas Ghandi, Winston Churchill, Martin Luther King dan Kevin Rudd, memenuhi helaian buku kulit keras itu. Lama-lama saya jadi lebih leka...

Bukannya apa, cerita, komentar dan huraian isi kandungan ucapan ikon feminin dunia, Emmeline Pankhurst, telah membawa saya melewati kembali zaman ketika berusia awal 20-an dulu. Tatkala itu minat pembacaan saya menjurus kepada isu-isu berasaskan feminisme dan berorientasikan perjuangan hak wanita.

Pankhurst insan bertanggungjawab memberikan hak mengundi kepada wanita di Britain pada awal abad ke-20.

Walaupun Pankhurst dikecam teruk kerana menggunakan taktik militia dalam Suffragette Movement di Britain, beliau sebenarnya telah mengubah landskap pemikiran wanita yang selalu dianggap lemah dan tidak setara golongan Adam.

Antara ucapan Pankhurst yang masih disebut-sebut sehingga ke hari ini, ucapan yang bertajuk, Freedom or Death, yang pertama kali dibaca di khalayak ramai pada tanggal 13 November 1913 di Harftford, Connecticut, Amerika Syarikat.

Pankhurst menggunakan pelbagai cara, termasuk eksploitasi dan mogok lapar untuk menuntut agar wanita di Britain diberi hak mengundi. Pengikut-pengikut Pankhurst di Glasgow pernah menjadikan pasaran saham kota itu kacau-bilau apabila mereka menghentikan sistem komunikasi telegraf di antara broker-broker saham di London dan Glasgow.

Kalau setakat keluar-masuk penjara, tidak jadi kudis untuk Pankhurst. Setelah dihumban ke dalam lokap kerana dibenci pemerintah Britain oleh kerana idea-idea radikalnya, Pankhurst dan pengikut-pengikutnya mengugut pihak berkuasa secara mogok lapar.

Apabila wabak mogok lapar menular dalam kalangan pengikut Pankhurst di penjara, kerajaan Britain yang berasa tercabar, kerana rata-rata pengikut Pankhurst terdiri daripada wanita kelas atasan dan berpelajaran, telah menggubal satu dasar undang-undang yang dipanggil Cat and Mouse Act (1913).

Setiap kali pejuang-pejuang Suffragettes Movement ini berada dalam proses mogok lapar dalam penjara, pihak berkuasa telah mencuba pelbagai cara untuk menghentikan misi bahaya itu, termasuk menyumbat makanan secara paksa ke dalam mulut mereka.

Apabila Pankhurst dan pengikutnya tetap berdegil, akta Cat and Mouse itu telah diperkenalkan. Di bawah akta ini, pihak penjara akan menunggu sehingga wanita-wanita itu menjadi terlalu lemah akibat tidak makan sebelum melepaskan mereka dengan ‘lesen sementara,’ di mana wanita-wanita tersebut akan mula makan dan menjadi sihat kembali apabila pulang ke rumah. Namun, sekiranya dalam tempoh ‘lesen sementara’ itu, mereka masih melakukan kesalahan, mereka akan dihumban kembali ke dalam penjara.

Emmeline Pankhurst menutup mata buat selamanya pada 14 Jun 1928, hanya beberapa minggu setelah hak mengundi wanita di Britain diluluskan di Parlimen.

Bulu roma tangan berdiri tegak tatkala membaca semula mutiara kata Pankhurst: “Women are very slow to rouse, but once they are aroused, once they are determined, nothing on earth and nothing on heaven will make women give way; it is impossible.”

Dalam hati, wanita hebat ini kekal sebagai hero peribadi saya.

Petang beransur senja, saya berkira-kira untuk beli sahaja buku tersebut agar dapat dihabiskan di rumah. Meradang sungguh apabila menyedari buku tersebut dijual pada harga RM89.50! Angan Mat Jenin saja ingin menjadi pembaca tegar di tanah bertuah ini, harga buku dan bahan-bahan ilmiah mahalnya bukan kepalang.

Pernah sekali saya keluar dari Kinokuniya dengan resit belian mencecah RM700 untuk lima buah buku. Tempelak rakan yang menemani saya hari itu: “Amboi, dah boleh beli emas berapa gram dengan RM700 itu?” Saya balas dalam nada mendatar: “Emas permata perhiasan badan, buku perhiasan jiwa.”

Selamat menyambut Hari Wanita Sedunia.

Elviza, Peguam


0 Responses So Far: