Rasuah Rakyat Untuk Menang


Ucapan tahniah dan  syabas  kepada MP Jerai, Mohd Firdaus Jaafar kerana keberanian, kepekaan dan keprihatinannya  membuat pertanyaan  di Dewan Rakyat  bertanyakan Perdana  Menteri (PM), Datuk Seri Najib Tun Razak  tentang jumlah  perbelanjaan  kerajaan  melaksanakan  projek-projek segera sepanjang pilihanraya  kecil  Dun Tenang di Johor pada Januari lalu.

Jawapan bertulis PM menyenaraikan  85 program  projek segera  telah dilaksanakan  sepanjang  kempen  lebih seminggu  pilihanraya  kecil Dun Tenang dengan memakan belanja RM5.968 juta. Peruntukan di bawah peruntukan khas PM itu dibelanjakan atas permintaan rakyat setempat  terdiri dari  pertubuhan bukan  kerajaan (NGO), persatuan penduduk, Rukun Tetangga dan sebagainya.

Jawapan itu juga  menyebut bahawa  peruntukan itu  termasuk dalam belanjawan 2011. Inilah hakikat  yang  menyebabkan Umno-BN terus dapat mengekalkan kerusi  Dun Tenang dan mengekalkan kuasa  pemerintahan   setiapkali  pilihanraya  sejak  1959, pilihanraya pertama selepas  merdeka 1957.

Pada mata kasarnya, perbelanjaan ini dibelanjakan atas kehendak dan permintaan  rakyat, tetapi jika dibedahsiasat secara halus, ia adalah suatu  cara untuk  memenangi hati nurani rakyat terutama pengundi untuk mengundi calon Umno-BN dengan  merasuah rakyat  dengan projek-projek  segera ini.

Tanpa adanya pilihanraya kecil  tentu tiada projek  segera akan dilaksanakan. Perbelanjaan  sebanyak   hampir  RM6 juta  itu  memasuki  kantung-kantung  kontraktor-kontraktor Umno BN yang kehausan projek, ketua-ketua cawangan, ketua-ketua bahagian dan suku-sakat mereka. Akhirnya  rakyat mengigit jari, menerima  hampas-hampas yang tinggal, kerana santannya  telah dibolot  oleh mereka yang berpengaruh  di peringkat cawangan dan bahagian.

Sebab itulah  projek yang dilaksanakan  kalau dalam bentuk bangunan, bangunan  akan runtuh kerana pembinaan  tidak mengikut spefikasi, kerana kontraktor orang Umno hanya  berminat   untuk mengaut keuntungan yang berlebihan  dari  menjaga kepentingan rakyat. 

MP Md Firadus, sebagai pengarah  pilihanraya Dewan Pemuda PAS Pusat, telah membuat  kerja rumahnya  dengan  membuat pertanyaan  sedemikian. Soalan itu  mungkin  diletak  di nombor-nombor  yang  terakhir bagi mengelakkannya  menjadi  soalan lisan  yang apabila dijawab akan  memberi  ruang untuk pertanyaan tambahan yang  akan menghagatkan lagi   persidangan  Dewan Rakyat. Oleh kerana  soalan itu tersenarai jauh, maka  apabila  waktu  yang diperuntukkan  untuk soalan  lisan  berakhir, soalan berbaki akan hanya  menerima jawapan bertulis.

Dianjurkan supaya  soalan-soalan seperti ini, yang mungkin bagi  sestengah pihak menganggapnya remeh  perlu mendapat perhatian dan diasak oleh MP-MP Pakatan bagi mengetahui sejauh mana  ketelusan kerajaan dalam berbelanja  dan jumlah  projek segera dan perbelanjaan yang dibelanjakan  bagi  merasuah rakyat dalam pilihanraya-pilihanraya  negara ini baik pilihanraya kecil atau pilihanraya  umum.

Tanyakan juga  jumlah program projek segera dan belanja  yang  dibelanjakan  dalam  tiap-tiap satu  pilihanraya kecil  yang sehingga  ini telah  16 kali diadakan sepanjang  tiga tahun  lalu. Dalam pilihanraya kecil yang dimenangi  Pakatan  sebanyak lapan kali, sebanding dengan  yang dimenangi  Umno-BN,mungkin perbelanjaan  rasuah yang ditaburkan berlibatkali ganda. Rakyat perlu mengetahuinya.

Kalau dalam satu pilihanraya kecil  perbelanjaan  kempen projek  segera berjumlah hampir   RM6juta, maka bagaimana pula  dengan pilihanraya  umum, tentulah belanja  dalam  jumlah  puluhan atau ratusan juta wang  rakyat di belanjakan  untuk  menjamin  kekuasaan berterusan  parti pemerintah.

Perbuatan merasuah  rakyat  untuk mendapatkan undi bagi menjamin kuasa pemerintahan berterusan  adalah  satu cara yang tidak berakhlak  yang perlu  dihentikan  segera. Suruhanjaya  Pilihanraya  (SPR) perlu bertindak mencegahnya dan  SPRM hendaklah  bertegas dengan adil bagi  menamatkan keadaan ini dari berlarutan  bagi menjamin proses demokrasi  berjalan mengikut landasan yang adil dan bersih dan bukannya  mengikut  padang permaianan tidak setara dan samarata yang akan  membantut  kesuburan demokrasi  negara ini.

Sudah  12 kali pilihanraya dan akan menjelang pilihanraya ke-13 akan datang, sewajarnya  proses demokrasi makin sihat dan subur, bukannya tambah pincang dan  membantutkan penuh dengan ketidakadilan dan penyelewengan  serta rasuah.

Kerajaan sebagai pemerintah yang diberi mandat oleh rakyat berhak  untuk membela  rakyat  dan mengadakan  projek-projek pembangunan untuk rakyat tetapi bukan melaksanakan  projek segera setiap kali  menjelang pilihanraya, apalagi semasa kempen  pilihanraya sedang berjalan. Rakyat  boleh sahaja  menerima projek, tetapi bukan semasa kempen pilihanraya,kerana ia adalah  salah satu  bentuk rasuah.

Kerajaan mempunyai masa lain  sepanjang tempuh mandat lima tahun untuk melaksanakan projek untuk rakyat. Jika  projek segera  dilaksanakan  semasa  kempen pilihanraya,maka ia adalah  testimoni  satu perlakuan  rasuah. Memberi projek segera untuk mendapatkan pulangan supaya pengundi memberi  undi,adalah satu perbuatan rasuah terang-terangan. Seadilnya,tiada projek segera dilaksanakan untuk rakyat semasa kempen pilihanraya. Cukuplah dengan manifesto yang meliputi dasar dan program parti  yang bertanding, jika diberi kuasa memerintah.  

SPR perlu mengadakan  peraturan  larangan  terhadap  perlakuan rasuah secara halus ini. SPRM pula  perlu  menghentikannya, kerana ia  perbuatan yang tidak sihat untuk proses kematangan demokrasi  di negara ini.

Jawapan  bertulis PM merupakan program projek segera yang dilaksanakan  semasa kempen pilihanraya. Apa pula pemberian-pemberian  dalam bentuk lain secara langsung atau tidak langsung  kepada  pengundi  individu atau berkelompak yang tidak pula  diketahui  jumlahnya. Inilah hakikat  dan anasir  tidak sihat dalam  proses demokrasi pilihanraya  negara ini.

Undi dibeli  dengan wang ringgit. Pihak yang mempunyai peruntukan perbelanjaan yang besar dan tiada hadnya  akan  mampu  membeli undi dan calun-calun Pakatan yang tidak mempunyai  kewangan yang cukup dan sangat terbatas  akan  berhadapan  untuk  menyaingi  calun parti pemerintah dalam padang  permainan demokrasi yang tidak  setara dan samarata.

MP-MP pakatan pembangkang  perlu mengusulkan  pertanyaan  untuk  jawapan lisan  berapakah jumlah  peruntukan  projek segera yang dibelanjakan dalam pilihanraya-pilihanraya kecil Galas, Kerdau, Merlimau, dan lain-lain yang dimenangi  Umno-BN dan berapa pula  perbelanjaan yang dihabiskan  dalam pilihanraya kecil  yang dimenangi  Pakatan. Dari perangkaan-perangkaan ini akan  dapat  dibuat analisis betapa demokrasi pilihanraya negara in dibelenggui dan diselubungi ketidakadilan.

Walaupun  setiap calon  perlu menghantar penyata  perbelanjaan pilihanraya   masing-masing selepas   pilihanraya, tetapi angka-angka sebenar yang tepat tidak akan diketahui dan diperolehi umum secara  jujur  kerana ia telah dimanipulasi  begitu rupa akibat tiadanya ketelusan  dan integriti  SPR sebagai agensi  pelaksana   pilihanraya  negara ini.

Sebelum pilihanraya ke-13 berlangsung, parti-parti dalam Pakatan  perlulah  melakukan  desakan dan agitasi politik mendesak SPR melakukan perubahan dan reformasi  bagi  menjamin  ketelusan  dan pilihanraya yang berwibawa kerana tanpa  pilihanraya berkredibiliti, risiko  penyelewengan  sangatlah  besar.

Apabila rakyat tidak mempunyai keyakinan terhadap agensi pelaksana pilihanraya seperti SPR dalam  mengendalikan  pilihanraya  maka  tindak balas rakyat  akan merugikan semua pihak. SPR  perlu dilihat berkecenderungan  untuk  mengadakan  suatu pilihanraya  yang seadil-adilnya bagi menjamin  kesinambungan  proses demokrasi  tulen di  negara ini.


0 Responses So Far: